CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, November 26, 2009

AIR TANGAN

Masakan ibu adalah masakan yang paling sedap. Begitu selalunya dikatakan orang. Realitinya pun begitu. Percayalah seorang anak akan sentiasa merindui masakan ibunya jika terpisah sekian lama. Rindu masakan ibu yang sukar ditandingi. Walaupun si anak mungkin pernah menjamah makanan yang lebih mahal, eksotik dan sebagainya tetapi manakan sama masakan ibu. Mengapa?

Kata orang, itulah penangan ‘air tangan’. Memasak melalui pelbagai proses daripada menyiang, membasuh, menggaul, menguli dan lain-lain aktiviti yang kebanyakannya melibatkan sentuhan tangan secara langsung. Tangan tukang masaklah yang paling banyak menyentuh makanan. Jadi, dalam masakan ibu, air tangannyalah yang paling banyak ‘terlarut’ bersama bahan-bahan masakan.

Benarkah air tangan itu yang memberi kelazatan pada makanan yang dimasak. Benarkah begitu? Hakikatnya, itu bukan sebabnya. Air tangan yang dimaksudkan bukanlah ‘air’ dalam erti kata yang fizikal dan material. Air tangan sebenarnya ialah aliran kasih sayang, kesungguhan, keceriaan dan ketulusan hati seorang ibu yang memasak untuk anaknya. Hati itulah yang mengalirkan ‘air tangan’. Jadi, air tangan pada hakikatnya ialah aliran kasih-sayang semasa ibu memasak untuk anaknya.

Pakar motivasi dan psikologi sepakat menegaskan bahawa orang yang melakukan satu kerja dengan penuh kasih-sayang, ceria dan tulus, hasil kerjanya akan berkualiti. Dorongan kerjanya bukan untuk ‘mendapat’ tetapi untuk ‘memberi’. Seorang ibu yang memasak adalah didorong untuk ‘memberi’ kasih-sayang kepada anaknya, berbanding seorang ‘chef’ yang memasak atas dorongan ganjaran komersial.

Justeru semakin ikhlas, ceria dan kasih seseorang pada pekerjaannya dan kepada siapa dia tujukan atas kerjanya itu, maka semakin tinggilah kualiti kerja tersebut. Dan semakin kurang keikhlasan, keceriaan dan kasih seseorang semasa melakukan kerjanya, maka semakin rendahlah kualiti dan produktiviti kerja tersebut.

Realitinya, ‘air tangan’ bukan hanya ada pada kerja memasak. Ia ada dalam setiap jenis pekerjaan. Ia adalah aliran kasih sayang dan kecintaan yang seharusnya mengalir dalam setiap pekerja, pemimpin, guru, imam, jurutera, doktor, jururawat sehingga seorang buruh kasar. Setiap individu Muslim, wajar bekerja kerana Allah untuk berkhidmat sesama manusia. Seorang yang paling kasihkan Allah, dialah yang paling kasihkan manusia dan orang seperti inilah yang paling tinggi kualiti kerjanya.
Falsafah di sebalik ‘air tangan’ inilah saya kira dapat merealisasikan dorongan Rasulullah saw agar setiap kita memperelokkan kerja menerusi sabdanya:
“Bahawasanya Allah s.w.t suka apabila seseorang darikamu membuat sesuatu kerja, dia memperelokkan kerjanya “

Sunday, November 8, 2009

PANGGILAN HAJI

Alhamdulillah pada 7/11/2009 salah seorang daripada ahli keluarga kami telah bertolak ke Tanah suci bagi menyahut seruan Illahi,menunaikan haji buat kali ke-2 nya.Ahli keluarga kami itu ialah Hjh Nor Ashikin Md.Said & suami Hj.Md Fauzi Salleh yang pada mulanya hanyalah “standby” tapi Alhamdulillah berkat doa kebanyakkan pihak mereka akhirnya dipanggil untuk berlepas pada tarikh tersebut.

Sebelum itu,pada 6/11/2009 mereka telah mengadakan kenduri di rumah mereka di TUDM Subang,Majlis bermula pada jam lebih kurang jam 8.30pm disertai solat berjemaah dan bacaan yassin beramai-ramai.Ramai ahli keluarga kami dan jiran-jiran tetangga yang menghadiri majlis tersebut.

Pada keesokkan paginya 7/11/2009 ,lebih kurang jam 5.00am,kami berkonvoi dengan 7 buah pacuan 4 roda ke Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya.Sebelum berangkat ke Kelana Jaya,di rumah mereka berkumandanglah azan yang di alunkan oleh anak sulungnya,Mohd Firdaus Md.Fauzi(Along Fir) tanda berangkat keluarnya mereka daripada rumah untuk menunaikan ibadah suci,ibadah Haji dan kemudian doa dibacakan oleh Ketua segala ketua keluarga kami,Hj Md Said Omar.Setelah itu kami menuju ke destinasi sebenar.

Lebih kurang jam 5.45am kami tiba di Kompleks Tabung Haji.Kami menunaikan solat Subuh.”MasyaAllah ramainya lah umat,dah macam di Mekah dah suasananya”(suara beberapa pengunjung di sana).

Setelah menyelesaikan beberapa perkara,bersalam-salaman ,berpesan-pesanan…suasana hiba makin terasa,bermaaf-maafan sesama ahli keluarga,lebih kurang jam 6.30am ahli jemaah haji mula berpusu-pusu masuk untuk “check-in”.Akhirnya kelibat mereka tidak lagi kelihatan pada pandangan kami.

Setelah itu,kami sarapan bersama-sama di gerai berdekatan.Setelah bersarapan,ada sebahagian yang bergerak ke rumah ahli keluarga kami Salmiah Md Said & suami Khairul Anwar Hj.Mastor untuk menghadiri kenduri di rumahnya di Bangi.Mereka akan berlepas ke Tanah Suci,insyaAllah pada 12/11/2009.Alhamdulillah pada hari tu semuanya berjalan dengan baik.Semoga yang telah bertolak dan bakal berlepas ke Tanah Suci pergi dan pulang dengan selamatnya,dan yang penting haji mereka diterima,semoga mendapat haji yang mabrur.ameen.